Friday, July 25, 2014

Info Kotak Hitam

Mesti ramai tertanya apakah itu kotak hitam kan?




Kotak hitam berfungsi untuk merakam komunikasi antara juruterbang dengan 'Air Traffic Control' (ATC) serta mengetahui tekanan udara dan keadaan cuaca selama penerbangan. Setiap kotak hitam mempunyai saiz sebesar kotak kasut dengan berat sekitar 10kg. Ia diperbuat daripada aluminium dan direka agar tahan hentaman yang kuat, kebakaran dan tekanan tinggi. Kotak hitam ini sebenarnya berwarna oren/jingga dan bukannya berwarna hitam bagi memudahkan ia dilihat oleh pencari dan penyiasat sekiranya pesawat itu mengalami kemalangan. Kotak hitam yang diperkenalkan pada 1960an dibaluti besi tahan lasak supaya tidak mudah rosak walaupun terendam di lautan dalam. Istilah kotak hitam muncul selepas penemuan perakam penerbangan komersial pertama yang dinamakan Red Egg kerana warna dan bentuknya. 

Kotak hitam terdiri daripada 2 jenis :-

(i) Perakam Data Penerbangan / 'Flight Data Recorder' (FDR) - Berfungsi untuk merakam setiap isyarat elektronik dan teknikal yang dibuat oleh jururterbang secara terperinci dari segi ketinggian, kelajuan dan penggunaan peralatan pesawat.

(ii) Perakam Suara Kokpit / 'Cockpit Voice Recorder' (CVR) - Berfungsi untuk menyimpan perbualan dan bunyi lain yang berlaku di kokpit. Ia boleh merakam perbualan diantara juruterbang dengan pembantu juruterbang serta komunikasi dengan pengendali trafik udara sepanjang penerbangan sehingga tamat penerbangan dan enjin pesawat dimatikan selepas mendarat. Perakam suara kokpit mampu merakam komunikasi kokpit dalam kitaran dua jam dan menindan kesemuanya kecuali dua jam terakhir

Setiap FDR dan CVR dipasang dengan peranti yang dikenali sebagai Underwater Locator Beacon (ULB) yang akan diaktifkan jika pesawat terhempas dalam air. Peranti diaktifkan sebaik sahaja perakam bersentuhan dengan air sehingga kedalaman sedalam 14,000 kaki dan juga boleh beroperasi antara -55° sehingga +70°C. 

Oleh itu di dalam sesuatu nahas pesawat terhempas, penemuan kotak hitam ini adalah penting kerana data yang diperolehi daripada rakaman akan membantu keseluruhan siasatan dan mengenal pasti punca sesebuah kemalangan itu berlaku.

FDR dan CVR akan mula merakamkan data penerbangan bermula apabila enjin pesawat dihidupkan, pemeriksaan senarai langkah untuk berlepas (take-off checklist), dan juga apabila pesawat sudah mula bergerak (taxi), berlepas dan mendarat.

Jika kemalangan berlaku, keutamaan pertama ialah untuk mencari bangkai pesawat dan seterusnya mencari kotak hitam pesawat berkenaan.

Pihak penyiasat akan mendengar dan meneliti setiap data di dalam alat berkenaan supaya mereka boleh mereka semula pergerakan pesawat dengan menggunakan lakaran grafik dari mula pesawat berlepas sehingga nahas berlaku. 





Ciri-ciri Utama Kotak Hitam

(i) Kesan Hentakan - Ujian dilakukan dengan menghempas ke lantai untuk menghasilkan kesan hentakan sebanyak 3,400 kali berat asal kotak hitam. 

(ii) Tekanan - Ujian tekanan sebanyak 224 Kg pada enam sudut sudut kotak hitam.

(iii) Ujian kebakaran - Kotak hitam diuji dengan kepanasan sebanyak 1,100 darjah celcius selama 1 jam.

(iv) Ujian tekanan dalam laut - Kotak hitam diberi tekanan di dalam tangki yang mengandungi air laut selama 1 jam.

(v) Ujian air masin - Kotak hitam diuji dengan air masin selama 30 hari.

(vi) Ujian rendaman minyak - Kotak hitam direndam di dalam minyak yang mengandungi minyak a
kapal, pelincir dan bahan kimia.

(vii) Ujian pin - Ujian ini dilakukan untuk menguji ketahanan agar tidak ditembusi objek tajam.

Data Yang Dirakam Oleh Kotak Hitam

  • 25 jam maklumat penerbangan
  • 2 jam audio kokpit (terutama 2 jam terakhir sebelum tragedi)
  • 2 jam message digital

Lokasi Kotak Hitam Di Dalam Kapal Terbang
Kotak hitam biasanya berada di bahagian ekor pesawat supaya ia lebih selamat sekiranya kemalangan berlaku.







No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...